Masjid guna standard SIRIM tingkat kebersihan
SHAH ALAM: Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) akan terus mempromosikan piawaian Standard SIRIM 1: 2014 dan 2:2014 dalam meningkatkan kebersihan tandas di masjid-masjid dan surau di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM STS Sdn. Bhd., Raja Yahya Raja Ariffin berkata, usaha tersebut diperkenalkan sejak 2014 dan diteruskan berikutan permintaan daripada pihak pengurusan masjid dan surau.
“Standard SIRIM 1:2014 adalah Garis Panduan Kebersihan Tandas Masjid dan Surau manakala Standard SIRIM 2:2014 berkenaan Garis Panduan Penarafan Kebersihan Tandas Masjid dan Surau.
“Mungkin sesetengah pihak sedia maklum perkara ini, tetapi masih ada juga yang tidak mengetahui kewujudan dua standard tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program taklimat garis panduan kebersihan, penarafan kebersihan tandas di Surau Al-Ansor di Seksyen 2, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Raja Yahya berkata, piawaian tersebut bukanlah satu perkara wajib yang perlu dilakukan oleh mana-mana rumah ibadah, bagaimanapun adalah penting dalam memastikan pengguna masjid dan surau selesa menggunakan tandas.
Jelasnya, Islam sendiri menitikberatkan aspek kebersihan kepada umatnya supaya sentiasa menjaga kebersihan.
“Kita merancang untuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor supaya perkara ini dapat dipromosikan dengan lebih jauh lagi.
“Dengan pengenalan program ini diharap dapat menarik lebih banyak masjid serta surau untuk lebih berminat mengetahui dengan lebih lanjut standard SIRIM ini,” ujarnya.

Source: Utusan Malaysia


